Sabtu, 31 Oktober 2009

DASAR AUTOMOTIF NASIONAL (DAN)

Sedih rasanya bila kerajaan mengumumkan Dasar Automotif Negara (DAN) baru-baru ini, sebagai orang kebanyakan macam aku memang terasa bila dasar ini dibentangkan. Antara yang terkandung di dalam dasar ini adalah setiap kenderaan yang melebihi 15 tahun dikehendaki membuat pemeriksaan Puspakom mulai 1 januari tahun depan, lagi 2 tahun jalopy aku genap 15 tahun. Adakah aku perlu berhutang lagi untuk menyelesaikan masalah aku ini... Arghhhh..!!!! TIDAK...!!!!

Kajian semula DAN antara lain juga adalah "Merangka mekanisme baru untuk melaksanakan larangan pengimportan alat ganti terpakai kenderaan dalam tempoh 18 bulan akan datang".

Arghhh...tak dapat aku bayangkan bila halfcut-halfcut jepun tiada lagi di malaysia. Macam mana la hobi aku yang suka mengutip sampah-sampah halfcut. Terkubur hasrat aku nak pakai sunroof lagi 2,3 tahun akan datang.... aku amat berharap agar dasar ini dipertimbangkan semula...

Ini adalah surat yang ditulis oleh rakan aku dan telah dipaparkan dalam utusan online untuk tatapan semua...

Kaji semula dasar automotif

SAYA merupakan salah seorang pemilik kereta berumur melebihi 15 tahun, yang dilaporkan berjumlah 2.7 juta buah di Malaysia.

Saya amat tertarik dengan berita di akhbar mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Walaupun DAN dilaporkan secara ringkas sahaja tetapi hati saya mulai gusar dengan apa yang bakal berlaku selepas ini.

Saya menulis berdasarkan pemahaman saya melalui laporan akhbar kerana saya hanyalah rakyat biasa, seperti kebanyakan rakyat di kampung atau luar bandar yang rata-rata tidak begitu mengerti dengan dasar yang kerajaan akan laksanakan.

Saya bukanlah antara orang yang mampu menukar kereta bagaikan menukar pakaian seperti taukeh besar, pegawai ataupun ahli Yang Berhormat di luar sana.

Sejak akhir-akhir ini, saya lihat pelbagai peraturan telah dikenakan kepada saya serta orang seperti saya untuk meneruskan kehidupan dengan memiliki kereta berusia.

Tidak cukup dengan kenaikan premium insurans pihak ketiga dan keengganan pihak insurans untuk menerima kereta kami, kali ini kami dikejutkan pula dengan DAN yang saya lihat akan banyak menguntungkan ahli korporat automotif sahaja.

Dengan adanya DAN yang kononnya dibuat atas dasar membantu merancakkan industri automotif negara, kami dipaksa secara halus untuk melepaskan kenderaan kami dan membeli kenderaan baru yang didakwa lebih moden serta berteknologi tinggi.

Kami tidak memerlukan kenderaan moden atau canggih untuk ke tempat beribadat atau ke tempat kerja. Cukuplah dengan ketenangan fikiran yang kini bebas daripada hutang pinjaman kenderaan.

Kenderaan yang moden dan canggih tentu sekali datang dengan harga yang kami tidak mampu membelinya secara tunai.

Tetapi jika DAN terus menekan kami, maka terpaksalah kami membelinya secara hutang. Kami ingin bertanya kepada pihak yang berkenaan, adakah dengan berhutang menandakan kita telah maju dan negara akan semakin cepat membangun?

Saya juga amat tertarik dengan menteri berkaitan mengenai kenyataannya untuk menghentikan kemasukan alat ganti kenderaan terpakai ke negara ini serta komitmen beliau untuk memberi insentif kepada mereka yang ingin membangunkan alat ganti automotif di dalam negara.

Saya berpendapat, tindakan tersebut hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja. Tentu sekali pihak kami iaitu rakyat biasa akan rugi selamanya.

Mungkin ada antara kami mampu untuk membeli kenderaan baru secara hutang tetapi belum tentu kami mampu untuk mendapatkan alat ganti kenderaan dengan harga yang munasabah.

Jika kemasukan alat ganti kenderaan terpakai dihentikan, kami terpaksa mendapatkan alat ganti baru yang bukan semuanya datang dengan harga yang mampu dibeli.

Sebagai contoh, harga gearbox canggih kereta nasional yang dilancarkan dahulu bagaikan mimpi ngeri kepada pemiliknya.

Harganya mencecah belasan ribu dan tidak sepadan dengan harga keretanya yang kini dalam promosi mudah milik oleh pengeluarnya.

Ia bagaikan kata orang tua-tua di kampung, mahal tali daripada lembu. Inilah yang menjadi persoalan kami. Adakah DAN akan memberi jaminan kepada kami untuk mendapatkan harga alat ganti yang murah dan berkualiti?

Justeru, kami amat berharap kerajaan dapat mengkaji semula DAN demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Kami bukanlah menentang pelaksanaan DAN tetapi biarlah DAN dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat, bukannya kepada pihak tertentu sahaja.

Dengarlah rintihan orang seperti kami. Jangan hancurkan kepercayaan kami. Jika rintihan kami diabaikan, maka konsep 1Malaysia yang dicanangkan akan gagal di tengah jalan kerana apa yang kami lihat, keutamaan hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja.

MOHD. NAJIB ABD RASHID

Kuala Lumpur


Tiada ulasan: